Ustaz Azhar Idrus - Profail

 

Tuan Guru Haji Azhar Idrus, Kuala Terengganu ( 1964 - Kini )


Oleh : Tengku Yusuff 


Tuan Guru Haji Azhar @ Zamrul Bin Idrus atau lebih terkenal dengan panggilan Ustaz Azhar Idrus @ UAI dilahirkan pada tanggal 12 Februari 1964 di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu. Ayah beliau merupakan seorang askar. 


Pendidikan awal Ustaz Azhar Idrus diperolehnya dari kedua ibu bapa beliau. Kemudiannya beliau dihantar belajar di Sekolah Rendah Inggeris Alor Setar yang terletak di belakang stesen keretapi pada tahun 1971. Kemudian beliau dihantar ke Sekolah Rendah Haji Mohd Sharif, Alor Star, Kedah hingga tahun 1976. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Star dari tahun 1977 hingga tahun 1978 dan kemudian berpindah ke Negeri kelahiran iaitu Terengganu dan mula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dari tahun 1979 hingga tahun 1983 iaitu dari Tingkatan 3 sehingga Tingkatan 6.


Setelah tamat pengajian, beliau mula berkerja di beberapa buah tempat termasuk pernah menjadi seorang guru muzik sekitar tahun 1985 dan pernah juga berkerja sebagai jurufoto di sebuah syarikat akhbar di Terengganu. 


Sekitar tahun 1990, dalam usianya 25 tahun beliau mula belajar agama dan belajar secara talaqqi lebih kurang dengan lapan orang guru dalam tempoh 12 tahun. Pada peringkat awal beliau berkerja di siang hari, pada sebelah malamnya beliau pergi ke kuliah pengajian. Namun lama kelamaan, hatinya menjadi kasih kepada ilmu agama lalu beliau berhenti kerja untuk fokus mengaji.


Terdetiknya hati beliau untuk belajar ilmu agama adalah kerana pada suatu hari dalam perjalanan balik, beliau lalu di sebuah surau dan ada seorang tok guru sedang mengajar. Melihat pada ramainya jemaah, Ustaz Azhar pun berhenti kenderaannya dan mendengar kuliah. Kata-kata tok guru tersebut telah masuk ke dalam hatinya, lalu Allah Taala kurniakan hidayah buat beliau untuk mendalami ilmu agama.


Awalnya beliau mula hadir ke kuliah Tuan Guru Haji Syed Mokhar bidang tafsir. Tuan Guru Haji Syed Mokhtar ini adalah salah seorang cicit Tok Ku Paloh. Beliau juga telah mengasaskan sebuah surau pengajian di Pantai Ali, Bukit Payong, Terengganu dan masih aktif mengajar sehingga kini. Dengan gurunya ini Ustaz Azhar khatam 40 buah kitab.


Gurunya yang kedua pula ialah Tuan Guru Mohd Tahir al-Fathani. Dengan gurunya ini beliau khatam 24 buah kitab-kitab jawi.


Guru beliau yang ketiga ialah Tuan Guru Mohd Hakim. Pada beliau, Ustaz Azhar belajar ilmu nahu, sorof, balaghah, usul fiqh, qawaidh, mustolah Hadis & usul tafsir dan lain-lain lagi.


Seorang lagi guru dan sahabatnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar Serkam. Daripada gurunya ini, beliau banyak belajar ilmu fiqh, usuluddin, nahu & hadis. Kata Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar, Ustaz Azhar ini mengaji dengan beliau ketika di Kuala Terengganu. Pada ketika itu, Tuan Guru Haji Abdul Rahman belajar di Pondok Kerandang, Besut, sambil itu turut mengajar di beberapa buah masjid surau sekitar Terengganu. Pada waktu itulah, Ustaz Azhar bertalaqqi dengannya.


Guru beliau yang seterusnya ialah Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd yang berkelulusan daripada Mesir. Dengan gurunya ini beliau banyak belajar sirah Nabawi.


Ulama yang keenam menjadi guru beliau ialah Tuan Guru Haji Hashim. Daripada gurunya ini beliau belajar ilmu nahu, sorof, fiqh dan faraid


Daripada gurunya yang bernama Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Salleh pula beliau belajar ilmu fiqh, nahu, sorof, balaghah, hadis, tafsir dan lain-lainnya. Ustaz Azhar belajar daripada gurunya ini di rumah gurunya di Ladang, Kuala Terengganu yakni pada sebelah malam. Tuan Guru Haji Muhammad Zain adalah antara pengasas bersama Pondok Lubok Pandan yang terletak di Marang. Beliau adalah alumni pengajian pondok Pasir Tumboh selama 16 tahun.


Seorang lagi gurunya ialah Tuan Guru Haji Hussin Bin Deraman atau lebih terkenal dengan panggilan Ayah Ku. Beliau belajar dengan gurunya ini ketika di Kuala Terengganu secara berulang alik. Kata Ayah Ku, Ustaz Azhar ini seorang yang sangat rajin mengaji. Tambahan Ayah Ku lagi, untuk memantapkan kefahaman ilmunya, siang beliau belajar dengan Ayah Ku manakala pada sebelah malam pula beliau mengajar ilmu tersebut.


Selain itu, sayang dan bersungguh-sungguhnya dalam menuntut ilmu, Ustaz Azhar juga turut mengambil ilmu daripada Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang bermula dari tahun 1990an lagi. Katanya, ketika sahabatnya yang belajar dengan Baba Ismail Sepanjang pulang bercuti ke Terengganu, beliau akan minta supaya sahabatnya itu memberinya kaset rakaman pengajian Baba Ismail kepadanya.


Pendek kata, sehari semalam beliau belajar selama 5 jam secara berulang alik ke rumah tuan-tuan guru atau masjid yang mereka mengajar. Lebih kurang 10 ke 12 kitab sehari dalam masa 12 tahun.


Antara sahabat awal beliau dalam rehlah pengajian ini adalah Tuan Guru Ku Syed Suhaimi dan Tuan Guru Baba Suplar. Kedua-dua sahabatnya ini adalah pengasas Pondok Bukit Jong, Terengganu. 


Berbekalkan ilmu yang dipelajarinya, Ustaz Azhar mula mengajar di sekitar Surau Ladang, Kuala Terengganu sekitar hujung 1990an. Dalam kesibukan jadual Ustaz sepanjang hari dan bulanan, beliau sentiasa mentelaah lagi kitab-kitab karangan mufti-mufti serta fatwa-fatwa khususnya dalam Fatwa Negara Mesir. Dalam rutin harian, Ustaz Azhar akan cuba habiskan 20 buah kitab sehari selama 5 jam. 


Pada sekitar tahun 2010, namanya menjadi fenomena dalam negara dan kemasyhuran beliau melonjak sebagai "Top 10" dalam senarai carian Google pada tahun 2011. Bermula daripada situ, Ustaz Azhar terus menabur jasa bakti mengajar di seluruh Malaysia sehingga orang ramai sentiasa ternanti-nanti jadual kuliahnya keluar pada setiap hujung atau awal bulan.


Kuliah-kuliah pengajiannya pernah dihadiri sehingga lebih dari 50 ribu orang, dan yang terpaling ramai ialah di Surau Perwaja, Gurun, Kedah iaitu mencecah 100 ribu orang.


Tuan Guru Haji Azhar Idrus adalah seorang tokoh agamawan dan pendakwah yang sangat besar jasanya dalam negara. Nama beliau turut terkenal di negara jiran kita iaitu Indonesia, Brunei dan Singapura dan Fathani. Moga Allah Taala mengurniakan kesihatan yang baik kepada Tuan Guru. Amin 


*Sumber - Tulisan Faris Ikhwan Fazli & Khazri Osman daripada UKM, serta kajian peribadi penulis bertemu para alim ulama yang menjadi gurunya dan pengalaman bersama beliau selama 13 tahun.


#KenaliUlamak


Kami sayang Ustaz Azhar Idrus

Ads go here

Comments