JALAN PULANG
(Pengakuan ahli freemusang lelaki dlm page fiksyen shasha.)
Aku ditawarkan kursus pengajian akaun di sebuah universiti awam dalam negeri Selangor. Ketika berada di semester keempat, aku telah terjebak dan terpengaruh dengan dunia muzik gelap. Gelap ertinya hilang pudar dari tona muzik biasa. Aku terjebak ke dalam kancah Black Metal.
Aku tidak menyalahkan sesiapa kerana itu adalah jalan yang dipilih olehku sendiri. Pada peringkat permulaan aku hanya mendengar lagu dan menonton muzik video daripada kumpulan black metal antarabangsa seperti Mayhem, Deicide, Emperor, Immortal, Burzum, Gorgoroth, dan Dimmu Borgir.
Tidak kurang juga dengan kumpulan tempatan seperti BismiIblyss, Dark Nirrajim, AsSahar, Sil Khannaz, Daarchlea, dan Hayagriva. Aku menjadi bersemangat apabila mendengar irama yang maha keras dan maha bingit itu. Aku menjadi ketagih. Ketagih dengan melodi yang seram dan penuh melankolik. Aku aktif menghadiri gig dan majlis-majlis berunsurkan kesyaitanan yang dianjurkan oleh kumpulan muzik dan komuniti black metal tempatan. Arak menjadi minuman pengkhayal minda. Whisky, Vodka, Bir, Champagne, Tequila, dan Wain adalah pemanis mulutku. Gadis-gadis gothik dan black metal menjadi pemuas nafsuku. Parti liar, seks bebas, dan keseronokan berhibur sudah menjadi rutin harian
Cuti yang ada dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Aku mula serius mendalami ilmu dan pengetahuan tentang dunia gelap. Buku-buku kesyaitanan karya penulis barat menjadi santapan minda. Begitu juga dengan majalah dan zine daripada luar negara. Aku sanggup menghabiskan masa dan wang demi sebuah ilmu sesat. Di leherku terkalung kemas rantai berbentuk salib terbalik dan berbentuk pentagram. Alis mataku bercelak hitam sepanjang masa. Pakaian seragam harianku harus berwarna hitam dan bercorakkan tengkorak, pentagram, syaitan, ataupun salib terbalik.
Pada satu hari ketika aku berada di sebuah gig dan khusyuk melayani persembahan kumpulan Daarchlea, aku telah disapa oleh seorang lelaki melayu yang pada hemahku berusia dalam lingkungan 40an. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pharduka Ifrit dan dia mengajakku untuk lepak bersamanya sejurus gig itu tamat. Hasil daripada perkenalan itu dia mempelawaku untuk menyertai komuniti gelapnya. Ia adalah sebuah komuniti black metal melayu yang mempunyai jaringan dengan komuniti black metal di Singapura, Indonesia, dan Thailand. Diterangkan prosedur dan kelebihan sekiranya aku berada di dalam komunitinya. Pantas aku bersetuju tanpa berfikir panjang.
RITUAL SYAITAN
Pharduka Ifrit bertindak sebagai GODFATHER di dalam komuniti tersebut. Aku diwajibkan untuk menghadiri ritual kemasukan sebagai tanda persaudaraan dan sumpah setia kepada dirinya serta iblis. Ritual itu dilakukan pada malam Jumaat di sebuah pantai yang agak damai dan tenang suasananya. Dia membawa sebotol besar cecair pekat berwarna merah bersamanya.
Aku tahu bahawa cecair itu adalah darah kambing jantan hitam yang telah dikorbankan. Ia berdasarkan daripada pembacaanku di dalam buku The Satanic Rituals suatu ketika dahulu. Aku berserta 8 orang lagi ahli baru bakal menjalani ritual yang bersejarah ini bersama-sama. Aku sangat teruja kerana bakal menjadi salah seorang pengikut black metal yang diiktiraf di dalam komuniti ini. Kami semua berpegangan tangan dan membuat bulatan mengelilingi Pharduka Ifrit. Pembantunya yang dikenali dengan nama Iblissisalam berada di luar bulatan itu. Kami memejamkan mata, fikiran dikosongkan lalu Pharduka Ifrit mula membaca mantera pemujaan untuk ritual itu.
xxxxxx
Usai selesai bacaan mantera, pembantunya telah menoreh lengan kiri kami dengan pisaunya. Seorang demi seorang ditoreh lengannya. Apa yang pelik adalah kami sedikit pun tidak berasa sakit dengan torehan pisau itu. Darah kami yang pekat itu ditadah ke dalam sebuah mangkuk tembaga. Mangkuk yang hampir penuh dengan darah itu kemudiannya dicampur pula dengan darah kambing jantan hitam yang dibawa oleh Pharduka Ifrit. Kami semua dipaksa untuk meminum darah itu sebagai tanda persaudaraan, tanda setia kepada kumpulan, dan tanda kesyukuran kepada iblis dan syaitan. Sebelum meminum darah itu kami diwajibkan untuk membaca kalimah
xxxxxx
Aku hampir sahaja termuntah akibat bau hanyir darah yang begitu kuat. Demi sebuah persaudaraan aku meneguknya sepantas mungkin. Rasa mual dan hanyir melekat di dalam mulut dan tekakku. Ketika itu fikiranku berasa tenang, aku seperti melayang-layang ke udara. Aku juga berasa kosong. Kosong seperti sesuatu yang berat telah hilang dari jiwa yang selalu memberontak ini. Tak lama kemudian seluruh badanku terasa panas. Panasnya seperti dipanggang di dalam ketuhar pemanggang. Ada dikalangan kami yang berlari terjun ke dalam air untuk menghilangkan kepanasan itu tetapi aku hanya bertahan sambil terbaring kepanasan di situ. Pharduka Ifrit dan Iblisisalam hanya bergelak ketawa melihatkan keadaan kami semua.
“Hahahahahaha…Bermula dari saat ini kamu semua adalah adik beradik sedarah sebapa, adik dan abang, abang dan kakak, adik dan kakak, dan anak daripada satu bapa iaitu Azazil. Panas itu adalah panas api daripada keturunan kamu semua. Api d***h bapa kita semua iaitu Azazil.” Terang Pharduka Ifrit sambil ketawa melihat gelagat kami yang sedang menahan kepanasan.
Hampir setengah jam kemudian kami telah pulih seperti sediakala. Ketika itu aku ternampak kelibat 3 lembaga berjubah hitam berada di sekeliling kami. Tingginya di dalam anggaran 7 kaki. Aku mendekati Pharduka Ifrit dan bertanyakan tentang gerangan lembaga itu tetapi dia menafikan akan kewujudan lembaga itu. Lembaga hitam itu terus berada di situ sehinggalah ke sesi penamat ritual. Penamat ritual itu adalah pesta seks bebas bersama dengan kesemua ahli-ahli baru. Di dalam kumpulan kami terdapat 5 orang gadis dan 4 orang pemuda termasuk diriku yang telah bersumpah setia untuk menjaga dan melindungi sesama kami selagi hayat dikandung badan. Kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kini kami semua bukan lagi beragama Islam. Kami adalah manusia yang berfahaman freethinker. Kami bebas melakukan apa sahaja yang kami inginkan. Tiada lagi tuhan ataupun agama yang tersemat di hati kami. Aku tidak lagi mengenali siapa tuhanku dan agama asalku. Hidupku dipenuhi dengan noda maksiat siang dan malam. Setiap ahli yang telah mengangkat sumpah diberikan nama gelarannya tersendiri.
Aku digelar Naftaharim dan tugasku adalah untuk merekrut ahli-ahli baru ke dalam komuniti ini. Aku dengan beberapa ahli lain dengan beraninya masuk ke sekolah-sekolah (menengah) dan mula menyebarkan ideologi gelap kami. Sasaran kami adalah pelajar-pelajar yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kami sanggup menyelusup masuk dan menyamar sebagai fasilitator motivasi demi mencapai hasrat itu. Untuk menguatkan lagi dakwah gelap ini, kami mengajak mereka untuk menghadiri kuliah sahsiah diri di luar waktu sekolah. Semua perbelanjaan makan, minum, dan perbelanjaan untuk hiburan ditanggung sepenuhnya oleh GRAND MASTER komuniti.
HIDUP DIBUAI DENGAN KEMEWAHAN
Namaku semakin dikenali oleh golongan elit dan korporat. Atas usahaku itu aku mampu membeli sebuah apartmen mewah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ketika aku baru sahaja berusia 25 tahun. Wang gaji yang besar ditambah pula dengan elaun dan bonus daripada pihak IWO memampukan aku untuk melabur di dalam bidang hartanah secara kecil-kecilan. Aku hidup mewah-semewahnya. Duitku tidak pernah kering. Perempuan silih berganti hadir di dalam hidupku. Aku mula berkuasa. Tiada sempadan untukku bertemu dengan sesiapa sahaja waima kerabat diraja atapun selebriti terkenal. Ramai yang menyedari akan perubahan yang berlaku padaku. Kawan-kawan dan kenalan yang pernah mengecam dan menghinaku akibat tunggang langgang ketika di zaman universiti dahulu mula merapatkan diri untuk menumpang kesenanganku. Mereka sanggup menjadi anjing peliharanku semata-mata kerana wang. Kerana wang aku mampu menguasai manusia. Aku memiliki kuasa, pangkat, dan wang kerana usahaku yang kuat dan restu daripada si Raja Iblis iaitu Raja Azazil. Walaupun hidupku mewah aku tidak pernah merasa erti kebahagiaan. Aku tidak pernah puas. Kadangkala aku berasa bosan dan begitu kosong. Kosong yang tidak dapat aku huraikan dengan kata-kata.
Sebagai seorang Guardian aku bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan pergerakan komuniti ini daripada ancaman luar. Berikut adalah struktur organisasi kepada kelangsungan komuniti kami.
I. ORGANISASI KEBAJIKAN ANTARABANGSA (IWO)
II. GRAND MASTER LODGE (GML)
III. KOMUNITI
Organisasi Kebajikan Antarabangsa (IWO) diwakili oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang rata-ratanya milik pertubuhan antarabangsa. Ia dinaungi oleh golongan kenamaan dan golongan korporat. Ia lebih kepada kerja-kerja amal dan kebajikan kepada masyarakat. Sumber dana yang diterima daripada syarikat-syarikat korporat antarabangsa akan diagihkan pula kepada Grand Master Lodge (GML). Daripada situlah komuniti yang berada di bawah kuasa GML dapat berkembang dan meneruskan kesinambungannya. Terdapat 2 komuniti berbeza di bawah bidang kuasa GML, iaitu:
A. Komuniti Freethinker
◆Aras Pertama: Ahli bawahan yang berfahaman Atheist, berdoktrin Iblis, & Anti Agama (Islam & Kristian).
◆Aras Kedua: Ahli pertengahan yang faham akan sistem hidup Iblis, golongan berfikiran luas, golongan profesional, & golongan yang melindungi golongan Nasionalis.
Komuniti Nasionalis
◆Aras Ketiga: Ahli kelas atasan seperti golongan kenamaan, VVIP, dan ahli korporat yang berkhidmat di dalam GML dan IWO.
◆Pejuang Hak Asasi & Kemanusiaan.
◆Penentang Sistem Perlembagaan & Sistem Syariah.
2 komuniti ini mempunyai agenda yang sama iaitu untuk menyelewengkan pegangan agama umat Islam. Komuniti kami iaitu komuniti Freethinker bersifat lebih radikal. Kami mempengaruhi minda manusia seawal peringkat remaja sehinggalah ke peringkat dewasa melalui konsep penjajahan minda manakala komuniti Nasionalis pula dikepalai oleh aktivis-aktivis yang memperjuangkan hak serta tuntutan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, dan kebebasan orientasi seksual. Seperti yang telah diterangkan di dalam kisah yang lepas, aku bermula sebagai seorang ahli biasa. Atas inisiatif dan kerja keras di dalam merekrut ahli-ahli baru aku dinaikkan pangkat sebagai seorang Guardian. Taat setia kepada komuniti dan kepada gerakan komuniti freethinker yang lain telah membawaku lebih jauh ke dalam sistem iblis. Aku didedahkan dan diajar bahawa hanya iblis yang layak disembah oleh kami semua. Setiap agama yang wujud di dunia ini adalah konsep hidup dongeng semata-mata. Suatu masa nanti akan muncul seorang pahlawan yang akan membanteras segala penipuan di dalam dunia ini pada akhir zaman nanti iaitu Dajal Al-Masih. Kami adalah bala tentera kepadanya apabila dia memunculkan dirinya nanti.
AKU YANG KENTAL
Kami pernah diserbu dan berulang kali ditangkap oleh pihak Polis dan Jabatan Agama Islam tetapi dibebaskan semula kerana pengaruh daripada golongan kenamaan. Memang sudah menjadi lumrah kehidupan apabila hanya ‘Ikan Bilis’ yang menjadi mangsa manakala ‘Jerung-Jerung Besar’ bebas berkeliaran. Aku bermula daripada aras pertama iaitu sebagai ahli biasa. Kemudiannya dilantik sebagai Guardian. Melihat kepada kesungguhanku yang tidak putus dan tidak berbelah bahagi dalam mengekalkan momentum dan memperluaskan kuasa komuniti kami, pihak GML telah menaikkan arasku daripada aras pertama kepada aras kedua dan pangkatku juga dinaikkan kepada Chief Manager. Aku sudah memiliki komuniti sendiri. Aku yang berkuasa sepenuhnya bagi setiap kejadian dan perjalanan komuniti ini. Ketika itu Pharduka Ifrit masih berada di takuk lama dan pangkatnya adalah jauh lebih rendah daripadaku. Dia masih lagi memegang jawatan sebagai seorang Godfather. Pergerakan komuniti kami adalah terancang, terperinci, tersusun, dan sukar untuk dibanteras kerana mendapat sokongan kuat daripada golongan elit dan kenamaan. Aku bukan lagi seorang ahli biasa yang bercelak di mata. Tidak lagi berambut panjang mengurai dan jauh sekali mengenakan pakaian gelap dan aksesori ganas untuk diperagakan kepada golongan awam. Aku telah berubah menjadi seorang manusia yang profesional. Penampilan fizikalku adalah seperti orang biasa dan kemas. Aku belajar bergaul dan bercampur dengan golongan-golongan cerdik pandai dan golongan profesional. Mereka juga sama sepertiku, berdoktrinkan Iblis. Di luar mereka disanjung tinggi dan dihormati oleh masyarakat di atas kejayaan dan pencapaian mereka tetapi apabila berkumpul bersama-sama, kami semua adalah sama. Kami adalah tentera kecil kepada iblis.
Untuk lebih dikenali dan dihormati oleh golongan-golongan elit dan kenamaan aku mula menyusun strategi baru untuk mencantikkan lagi portfolio pencapaianku iaitu dengan mengibliskan seorang manusia seawal bayi lagi. Aku mengarahkan orang-orang bawahanku untuk mencari gadis-gadis yang hamil anak di luar nikah tanpa mengira bangsa dan agama. Komuniti kami akan memberikan layanan kelas pertama kepada mereka. Wang dan tempat perlindungan akan disediakan kepada mereka seselesa mungkin. Tetapi semua itu bukan datang secara percuma. Semuanya bersyarat. Anak luar nikah yang dilahirkan itu akan diserahkan kepada kami sejurus sahaja ia dilahirkan. Segala urusan perundangan telah dimeterai sebelum gadis-gadis itu bersetuju dengan tawaran kami. Anak-anak yang dilahirkan itu akan mempunyai ibu bapa daripada golongan yang bukan beragama Islam atau Ktistian. Mereka adalah golongan penentang agama yang juga berdaftar sebagai ahli di dalam IWO dan GML. Hasil daripada usaha itu, ramai golongan atasan yang mula membuka mata dan menyedari akan kewujudanku.
AKU DAN ALAM GHAIB
Aku telah mempunyai 4 ekor makhluk gergasi yang sentiasa berkawal untuk melindungiku. Aku juga diiringi oleh seekor jin yang bertindak sebagai pendampingku sepanjang masa. Aku kebal. Kebal dengan kuasa dari alam ghaib. Tiada sesiapa pun yang mampu untuk mendatangkan kecederaan atau kesusahan kepadaku. Pernah terjadi di mana beberapa orang manusia yang penuh dengan hasad dengki cuba untuk mengenakan sihir dengan niat untuk menjatuhkanku tetapi semuanya dapat ditangkis dengan mudah oleh pendampingku. Secara keseluruhannya aku mempunyai 5 ekor jin yang menjaga keselamatan, menaikkan kegerunan dan ketakutan kepada lawan, menaikkan seri wajah, dan sebagai perisai kebal bagi tujuan keselamatan. Aku dapat mengetahui dengan lebih awal sekiranya terdapat sesiapa yang ingin mendatangkan kesusahan kepadaku. Aku juga mampu mendatangkan kesusahan kepada sesiapa yang berbuat jahat padaku dengan mudah.
ISTERIKU ADALAH JIN
Sesuatu yang tidak patut berlaku dan melampaui norma seorang manusia adalah mempunyai ikatan perhubungan perkahwinan dengan bangsa jin. Akibat nafsuku yang terlalu kuat aku telah menjalinkan hubungan terlarang dengan mereka. Aku telah berkahwin dengan seekor jin betina dari bangsa Ifrit dan mempunyai anak haram/campuran seramai 6 orang.
Ya, anak campuran di antara benih seorang manusia dan seekor jin. 2 jantan dan 4 betina. Mereka berada di dalam jagaan isteriku. Aku menjadi bertambah kuat dan berpengaruh. Sekiranya aku memerlukan bantuan aku hanya perlu membayangkan wajah mereka dan mereka akan muncul dalam tempoh sekelip mata sahaja. Kesemua anakku wujud secara ghaib, hanya aku sahaja yang mampu melihat dan berhubung dengan mereka. Isteriku itu berkulit putih, bermata sepet seperti orang Korea, bermata hijau, berhidung sedikit mancung, dan berasal daripada Indonesia. Anak-anakku pula lebih cenderung berwajah sepertiku. Mereka cepat belajar dan pintar...
ALAM IBLIS
Dalam tempoh beberapa minit sahaja aku telah berada di sebuah padang hijau yang luasnya saujana mata memandang. Terdapat sebuah tasik besar di situ dan airnya berwarna hijau gelap. Bunga teratai dan bunga kiambang memenuhi permukaan tasik itu. Aku sedang menunggang kuda hitam bersama dengan Arahzaab sambil diiringi 2 ekor pembantunya itu. Di kiriku tersusun kemas tengkorak dan rangka tulang manusia, manakala di kananku pula terdapat sebuah jambatan kecil yang diperbuat daripada batu kristal berwarna biru firus. Aku ternampak sebuah istana hitam yang dikelilingi oleh menara-menara yang tinggi dan ia terletak tidak jauh di hadapanku. Bentuk istana dan menara-menara itu saling tak tumpah seperti bentuk logo animasi Walt Disney ataupun istana Kremlin di Rusia. Di hadapan istana itu terdapat puluhan lembaga berjubah hitam yang sedang berkawal sambil memegang tombak. Ketika kuda kami menghampiri pintu gerbang istana, seorang lelaki memberhentikan kami. Aku tidak dapat memastikan samada lelaki itu adalah seorang manusia betul ataupun manusia jelmaan semata-mata.
“Siapa dia?” Soal lelaki tersebut.
“Tetamu khas kepada Yang Maha Mulia.”
“Anak keturunan Adam bukan boleh sewenangnya lalu di sini.” Lelaki itu bersuara sambil merenungku dengan penuh keraguan.
“Dia tetamu khas kepada Yang Maha Mulia. Ketepi kamu.” Arahzaab menepis tangan lelaki itu dengan pedangnya. Kami menyambung perjalanan masuk ke laluan istana itu.
Ketika menyusur masuk ke perkarangan istana aku ternampak ramai manusia yang berada di situ. Mereka semua berpakaian seperti orang Gipsi. Mereka kelihatan seperti orang Arab. Di situ timbul persoalan. Siapakah mereka semua dan adakah mereka adalah iblis yang hanya menjelma menjadi manusia? Aku biarkan sahaja persoalan itu bermain di minda. Kelihatan juga banyak makhluk yang berwajah seperti binatang berbadan manusia sedang mengasah pedang dan kelengkapan perang. Apa yang pasti mereka semua boleh berkomunikasi seperti manusia.
“Arahzaab, berapa lama lagi kita akan sampai?”
“Tak lama. Kamu jangan bimbang.”
Entah kenapa kepalaku tiba-tiba sahaja terasa begitu sakit seperti dihempap sebiji batu besar. Ketika itu terdengarlah sebuah jeritan yang kuat lagi maha dasyat memanggil namaku. Gegendang telingaku hampir pecah akibat jeritan itu.
“Akhlaqen ibni Adam!”
Kesemua makhluk yang berada di laluan perkarangan istana itu terdiam seribu bahasa. Arahzaab juga memberhentikan kudanya.
“Arahzaab. Namaku dipanggil tadi. Kamu dengar?”
“Diam. Yang Maha Mulia di atas sana sedang bertitah.”
“Bertitah? Apa titahnya?”
“Diam.”
Aku tidak mendengar sebarang suara ataupun bunyi ketika itu. Aku memandang kawasan sekeliling. Kesemua makhluk di situ termasuklah manusia yang berpakaian Gipsi itu menggangguk kepala, menadah tangan seperti berdoa, dan membuat pergerakan badan yang agak ganjil. Arahzaab dan pembantunya pula terhenjut-henjut di atas kuda seperti orang yang sedang kemabukan arak.
“Arahzaab. Kamu kenapa?”
“Diam.”
Tiba-tiba kuda yang sedang kami tunggangi itu berjalan semula menuju ke dalam istana. Beberapa ekor naga hitam terbang berkeliaran di dalam istana itu. Di kiri dan kananku terdapat banyak bilik seperti sel kurungan di penjara. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis hantu puaka yang dikurung di situ. Mereka diikat, dirantai dan dikumpulkan setempat. Terdengar jelas rintihan, raungan, jeritan, dan rayuan daripada penghuni-penghuni di dalam sel itu. Kami naik pula ke tingkat seterusnya iaitu ke tingkat dua. Di situ terdapat beberapa ekor lembaga berjubah hitam yang berbentuk sama seperti Arahzaab sedang duduk di atas kerusi panjang di dalam dewan besar di situ. Dewan tersebut adalah sebuah gereja pemujaan. Di bahagian mimbar gereja tergantung sebuah simbol besar yang mengeluarkan cahaya merah menyala. Simbol itu berbentuk bintang berbucu 6. Di bawah bintang itu dilingkari dengan perkataan yang tidak diketahui bahasanya, manakala di bahagian atas pula mempunyai lambang 2 tanduk kambing yang panjang.
“Arahzaab, berapa lama lagi kita akan sampai? Tempat apakah ini?”
“Sebentar sahaja lagi. Ini tempat kita semua mendapatkan keredhaan daripada Raja Azazil.”
Kami naik pula ke tingkat tiga. Di situ terpapar bayangan-bayangan imej seperti siaran video. Pada firasatku tempat itu adalah pusat kawalan ataupun pusat pemantauan yang menunjukkan aktiviti yang sedang berlaku di dunia kita. Mataku tertancap akan bayangan seorang bomoh siam dan seorang perawat Islam yang sedang bersiap sedia untuk bertempur sesama mereka. Di pihak bomoh siam jelas kelihatan 2 ekor hantu raya sedang mendengar arahan daripada bomoh itu. Tak lama kemudian mereka keluar melalui pintu tingkap rumah bomoh itu dan mula bergerak menuju ke rumah perawat Islam itu. Dalam masa yang sama seorang jin Islam yang berpakaian serba putih berada di sebelah perawat Islam itu. Jin itu sedang menantikan kedatangan 2 ekor hantu raya itu. Di tabir lain aku melihat pula bayangan seorang wanita India yang sedang ditikam oleh beberapa orang lelaki. Dia m**i di situ akibat kesan tikaman yang bertubi-tubi di bahagian dadanya. Aku juga melihat bayangan seorang pemuda yang sedang melakukan maksiat dengan pasangannya di kawasan air terjun yang tidak diketahui lokasi sebenarnya.
Suasana di tingkat empat sangat berbeza kerana persekitarannya adalah sebuah hutan yang tebal dan luas. Di dalamnya terdapat pelbagai makhluk aneh yang bermacam-macam rupa dan saiz. Ada yang cantik dan ada yang buruk. Di bahagian atasnya terdapat sekelubung awan hitam sedang berarak memayungi kami.
Kami terus naik ke tingkat seterusnya iaitu tingkat tujuh. Tingkat kelima dan keenam hanyalah sebuah ruang yang kosong dan gelap. Tiada sebarang makhluk ataupun binaan yang berada di situ.
Suasana persekitaran di tingkat tujuh adalah seperti di kawasan balairong seri istana negara tetapi di dalam versi gelap dan suram. Di dalamnya terdapat sebuah singgahsana besar dan berkilauan dengan batu permata serta emas. Kuda yang kami tunggangi ditahan sekali lagi oleh beberapa orang manusia gergasi yang berkawal di situ. Saiz mereka adalah seperti saiz sebuah tren monorel. Mereka berkepala botak, berkulit merah jambu, dan berpakaian lengkap seperti golongan kesatria.
Ketika melepasi pengawal-pengawal gergasi itu, aku ternampak beberapa ekor makhluk yang memakai mahkota dan persalinan raja tetapi tidak berjasad sedang duduk memerhatikanku. Barangkali mereka adalah golongan kerabat Raja Azazil ataupun raja-raja iblis yang lain.
“Di sini hamba persembahkan tetamu tuanku.” Kata Arahzaab sambil memimpin tanganku ke arah singgahsana itu. Raja Azazil terlindung di sebalik kain penghadang yang berada di situ.
Aku berdiri di hadapan Raja Azazil dengan perasaan takut dan seram. Kain penghadang mula dinaikkan. Ketika itu terzahir jelas wajah seekor raja iblis yang telah wujud sebelum kewujudan Nabi Adam as. Aku tidak dapat memberikan gambaran sebenar akan rupanya itu atas faktor keselamatan. Apa yang aku boleh katakan adalah seekor jin yang tua. Tersangat tua. Dia bukan berwajah seperti manusia, fizikalnya bukan seperti manusia, dan kulitnya berwarna hitam pucat tidak berseri. Dia mengenakan regalia yang bertatahkan berlian dan batu zamrud.
“Jadi engkaulah anak keturunan Adam yang menjadi pengikutku?”
“Ya saya tuanku.”
“Siapa tuhanmu?”
“Aku terlupa…” Terkebil-kebil aku menjawab soalan yang cukup berat itu. Sesungguhnya aku memang terlupa siapa tuhan dan apa agama asalku ketika itu.
“TERLUPA! Kamu terlupa akan tuhanmu? Sedangkan aku mempunyai tuhan yang satu. Inikan engkau makhluk yang hina terlupa akan tuhanmu?”
“Jujur aku terlupa.”
“Apa agamamu?”
“Juga terlupa.”
“Memang benar keturunan Adam hanya mendatangkan kerosakan di atas alam ini. Di manakah terletaknya tauhidmu?”
“Aku tak tahu.”
“Kamu tahu. Allah itu tuhan yang satu. Dia tuhan kami, Dia tuhan seluruh alam dan Dia adalah pemilik semua makhluk. Engkau pula boleh terlupakan Dia?”
“Aku terlupa kerana telah meminum d***h itu.”
“Akhlaqen Akhlaqen Akhlaqen. Kamu tahu kenapa aku ingin ketemu denganmu?”
“Tidak.”
“Adalah kamu kenal dan tahu akan sejarah hidupku?”
“Tahu.”
“Aku jelaskan semula. Akulah Azazil. Satu-satunya jin yang pernah menjadi imam kepada semua malaikat di alam atas. Aku pernah menguasai bumi. Pernah bersujud puluhan ribuan tahun kepadaNya. Akan tetapi, kemunculan moyangmu iaitu Adam telah membinasakan diriku!”
Tonasi suara yang kasar ditambah pula dengan renungan matanya yang hitam pekat itu membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku hanya tertunduk diam seribu bahasa.
“Kamu tahu. Kerana Adam aku terjatuh. Aku terjatuh ke bumi. Aku hilang maruah. Aku dihinakan oleh seluruh makhluk dari alam atas! Kerana moyangmu aku berada di sini. Kerana moyangmu aku bersumpah untuk menyesatkan dan melalaikan keturunannya sehingga ke hari pengakhiran kelak! Kerana dia aku menjadi raja Iblis. Walaupun dia juga terjatuh ke bumi tetapi masih belum terlunas dendamku padanya. Aku api, dicipta daripada api. Kamu? Tanah semata-mata. Mana yang lebih mulia? Kamu atau aku?”
Raja Azazil benar-benar berdendam dengan Nabi Adam dan seluruh keturunannya termasuklah aku. Aku semakin takut kerana aku yakin bahawa hanya aku seorang sahaja manusia yang berada di situ pada waktu itu. Aku bimbang sekiranya diapa-apakan olehnya. Dia mendengus dengan kuat sehingga terbit asap hitam dari kedua belah lubang hidungnya itu.
“Maafkanku tuanku…”
“Akhlaqen, aku tidak menyalahkanmu. Engkau adalah hambaku. Engkau adalah keturunan Adam yang mempunyai hubungan denganku.”
“Terima kasih wahai Raja Azazil…”
“Aku sahaja ingin berkenalan dengan lebih rapat denganmu. Jangan takut padaku. Engkau tetamuku.” Dia mempersilakanku untuk duduk di sebelahnya. Sekarang aku duduk di sebelah Azazil. Ya. Azazil raja Iblis.
“Tuanku. Jikalau tuanku tak keberatan…”
“Apa dia Akhlaqen?”
“Kita berada di mana sekarang ini?”
“Di dunia. Di bumi.”
“Di mana tuanku?”
“Di sebuah kawasan yang jauh daripada penempatan anak cucu cicit Adam.”
“Di Segitiga Bermuda?”
“Bukan. Itu kawasan pemerintahanku. Di sini kawasan kediamanku. Usah disoal lagi soalan sebegitu.”
“Baiklah tuanku.”
“Aku berbangsa Iblis. Salah satu bangsa terawal daripada kalangan jin bernasab Jaan. Daripada bangsa inilah lahirnya bangsa-bangsa iblis yang lain. Adapun begitu mereka semua berada di bawah takhluk kuasaku. Kami yang teragung, tiada bangsa lain yang mendahului kami.”
“Tuanku, adakah Iblis mempunyai pegangan agama?”
“Kamu ingin berbicara denganku mengenai agama? Sedangkan kamu sendiri terlupa akan tuhan dan agamamu? Akhlaqen, kami adalah kafir. Kami tidak memerlukan sebarang agama. Taurat, Injil, Zabur, dan Quran hanyalah pegangan untuk keturunanmu.” Angkuh dan berbaur ego jawapannya itu.
“Bagaimana pula dengan tuhan?”
“Telahku terangkan pada awal tadi bahawa Allah itu tuhanku, Dia tuhan segala makhlukNya. Aku, kamu, mereka, dan seluruh isi di alam ini adalah milikNya. Walaubagaimanapun aku ingkar padaNya.”
“Arahzaab!” Dia menjerit memanggil Arahzaab yang ketika itu sedang berdiri di hujung balairong seri itu.
“Ya Yang Maha Mulia. Kenapa?”
“Hantarkan dia pulang ke tempat asalnya sekarang.”
“Tuanku ingin aku pulang sekarang?”
“Nanti kita ketemu lagi. Apa yang kamu lihat di dunia kamu itu hanyalah anak cucuku. Jangan sesekali bimbang. Mereka hanya ingin mengenali kamu.”
“Tapi tuanku…Aku diganggu sepanjang masa. Tiada ketenteraman di jiwa. Bantu diriku tuanku.” Rayuku sambil mengharapkan gangguan-gangguan daripada hantu puaka itu tidak berulang lagi.
“Kamu harus kental wahai Akhlaqen. Andai terjadi sesuatu, seru sahaja nama Arahzaab.”
“Ingat Akhlaqen. Kita akan ketemu lagi. Arahzaab!”
Aku kini berada di dalam bilikku. Tiada lagi Arahzaab dan 2 ekor pembantunya. Mereka hilang dan ghaib sesudah menghantar aku pulang. Tiada lagi Raja Azazil yang duduk bersebelahan denganku. Aku teringat akan kata-katanya tadi. Allah itu tuhan yang satu. Adakah Dia itu tuhan yang pernah aku sembah sebelum ini?
p/S: Penulis kata nak sambung penulisan
tapi tidak pula ada sambungan sejak 2017. Yakin ka dia sudah bertaubat? Dapat ke keluar dari cengkaman freemusang? 😬🙃
Comments