Misteri Pauh Janggi


Antara cerita terawal yag popular di kalangan orang Eropah tentang 'buah ajaib' ini ialah dari para pelaut Melayu. Mereka telah melihat buah Pauh Janggi ini muncul tiba-tiba dari dasar laut- seolah-olah 'jatuh ke atas' permukaan laut. Disebabkan fenomena pelik itu para pelaut Melayu beralasan bahawa buah ini mesti tumbuh di atas pokok bawah air di dalam 'hutan' di dasar Lautan Hindi.


Menurut cerita rakyat (folklore) Melayu lagi, kelapa misteri ini tumbuh di atas pokok ajaib (pokok Pauh Janggi) dalam pusaran air yang besar dikenali sebagai Pusat Tasik.


Mengapakah buah Pauh Janggi ini tiba-tiba muncul dari dasar laut? Ada kisah di sebaliknya. 


Kelapa Laut atau Pauh Janggi (coco de mer) ialah sejenis pokok palma berasal dari kepulauan Seychelles. Tumbuhan ini membuahkan buah yang berbentuk aneh iaitu bentuk dan saiz punggung wanita yang tidak berbadan di satu sisi dan perut dan peha wanita di sisi yang lain. 


Oleh kerana keadaan buah kelapa yang unik ini, tidaklah menghairankan apabila ianya dilihat oleh orang di bahagian lain di dunia sebagai objek yang jarang ditemui dan menarik sehingga ditokoktambah dengan kisah-kisah mitos dan ajaib. Sifat dan asal usul kelapa yang luar biasa ini juga adalah misteri dan pembiakan pokok itu turut tidak difahami. 


Contohnya pokok ini mempunyai pokok jantan dan betina yang berasingan, tidak seperti pokok kelapa. Malah tidak seperti buah pokok kelapa yang biasa, buah Pauh Janggi tidak disesuaikan untuk tersebar secara semula jadi dengan terapung di atas air laut. Ini kerana apabila jatuh ke laut, ia tidak boleh terapung kerana ketumpatannya yang tinggi; sebaliknya ia tenggelam ke dasar. 


Walau bagaimanapun, selepas buah kelapa ini berada di dasar laut untuk jangka masa yang agak lama, sabutnya akan gugur (mendedahkan tempurungnya) manakala bahagian dalaman tempurung mula mereput serta gas yang terbentuk di dalam tempurung menyebabkan tempurung terdedah naik ke permukaan. Pada masa itu tempurung kelapa ini boleh terapung tetapi tidak lagi subur, oleh itu apabila arus lautan menyebabkan tempurung itu terdampar di pantai yang jauh contohnya di Maldives, tempurungnya tidak berupaya membenihkan pokok baru.


Ada satu perkara yang menarik, oleh kerana buah ini tiba-tiba muncul di permukaan air laut di sekitar lautan Hindi, ianya tidak diketahui datang dari mana pada mulanya. Tetapi orang Melayu memanggilnya sebagai 'Pauh Janggi' di mana kata 'Janggi' adalah berasal dari kata 'Zanj' atau 'Zang' (Arab: زَنْج, Parsi: زنگی, rumi: Zangi) yang merujuk kepada kawasan timur Benua Afrika. Ini bermakna para pelaut Melayu telah pun tahu atau mengagak dari arah mana buah Pauh Janggi ini berasal.


Trivia: Pada ubat batuk Cap Kelapa Laut Afrika, logo yang digunakan adalah buah Pauh Janggi.


~Srikandi 

The History of Thy Beloved


ATBMIV: https://shope.ee/A9i0MoPMGo

Ads go here

Comments