Raja Suran

Kalau barat boleh buat movie seperti Thor , Aquaman dan Zeus , India dengan Bahubali ,Mengapa tidak kita ? RAJA SURAN ni sangat menarik dan layak jika difilemkan ,Tapi sayangnya tiada pihak ataupun sponsor yang ingin menjayakannya. Saya berharap sangat ada studio² filem dan produksi membuat filem epik dan lagenda seperti raja suran.

Siapa Raja Suran ? 

Bermula dengan Raja Iskandar Zulkarnain berperang dengan Raja Kinda Hindi dan menewaskannya , Lantas mengislamkan Raja Kinda Hindi , Berkahwin pula Raja Iskandar dengan puteri Raja Kinda Hindi yakni Puteri Syahrul Bahriyah , dan dapat pula anak yang diberikan nama Raja Aristun Syah. Dan dari keturunan Raja Aristun Syah maka lahirlah seorang Raja yang sangat digeruni dan gagah iaitu RAJA SURAN .

Raja Suran yang memerintah sebuah kerajaan yang bernama "Amdan Negara" ingin meluaskan jajahannya sehingga ke negara china , Maka bermulalah kisahnya dalam perjalanan yang panjang beliau menakluk Gangga Negara (Kerajaan purba perak) Kemudian berkahwin pula ia dengan puteri gangga negara yakni Puteri dara Senggaga .

Kemudian Raja Suran meneruskan lagi impiannya menakluk kerajaan lainnya , Tiba pula ia ke kerajaan Langgiu dan menanglah ia menawan kerajaan tersebut,Lalu berkahwin pula Raja Suran dengan puteri kerajaan langgiu yakni puteri onang kiu anak raja chulan - raja langgiu.

Akhirnya, selepas perjalanan yang panjang, Raja Suran sampai ke Temasik. Di Temasik ia bertanyakan kepada pedagang² China sejauh mana lagi perjalanan sebelum sampai ke China. Pedagang² China yang melihat bala tentera Raja Suran , yakin china akan tewas dengan kekuatan tentera Raja Suran , lalu bermain helah lah para pedagang china itu . 

Maka pedagang china yang tua itu berkata jauhnya perjalanan dari china , dari ia muda menjadi tua tiada gigi, pokok yang ditanam sudah berbuah, dan jarum yang berkilat telah berkarat, menunjukkan bahwa betapa jauhnya perjalanan mereka dari China hingga sampai Temasik.

Mendengarkan akan hal itu ,maka Raja Suran membatalkan niatnya untuk menakluk China, Lantas Raja Suran telah mengarahkan orang di Temasik membina sebuah kotak kaca, supaya dia boleh turun ke dasar laut untuk melihat kerajaan dibawah laut.

Lalu setelah itu turunlah Raja Suran ke dasar laut ,dan telah bertemu dengan pemerintah kerajaan bawah laut, bumi Dika iaitu Raja Aktabu’l-Ard dan berkahwin pula ia dengan Puteri Mahtabu’l-Bahri, puteri kepada raja kerajaan laut. Darilah perkahwinan itulah, akan lahir tiga orang Raja Melayu , yakni Sang Nila Pahlawan, Nila Utama, dan Krisyna Pandita.

Sang Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau dan Krisyna Pandita pula menjadi raja di Tanjung Pura manakala Nila Utama ditabalkan menjadi Raja Palembang. Kisah Raja Suran berakhir dengan lahirnya ketiga² anaknya yang menjadi Raja di tanah melayu. Anak beliaulah yang menjadi penerus legasinya mendirikan kerajaan di Tanah Melayu. 

Legenda mengatakan Sang Sapurba, Krusyna Padita dan Nila Utama telah dijaga oleh atuknya, Raja Aktabu’l-Ard sehingga mereka dewasa. Setelah umur mereka mencapai dewasa, mereka telah pergi ke Bukit Si Guntang atas arahan bapanya (Raja Suran) pada waktu malam.

“Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard ketiga cucunda baginda itu diberinyalah memakai alat kerajaan dengan selengkap pakaian anak raja-raja, yang bertatahkan ratna mutu manikam, serta dikenakannya mahkota itu ketiganya, Setelah itu maka ketiga baginda pun bermohonlah kepada ninda dan bonda baginda.

Maka dipeluk dicium baginda serta ditangisinya, maka oleh Raja Aktabu’lArd diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam warnanya; maka ketiga anak raja itu pun naiklah ke atas lembu itu lalu berjalanlah keluar.”

Ketika ketiga anak raja ini sampai dibukit si guntang , kehadiran mereka ni telah disedari oleh dua orang gadis jelita iaitu Wan Malini dan Wan Empok di mereka. Mula-mula tu, mereka melihat ada cahaya di atas Bukit Si Guntang, tapi disebabkan takut, mereka buat keputusan untuk melihatnya esok pagi.

Keesokan paginya, mereka pun pergi ke kawasan bercahaya tu untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Rupa-rupanya, mereka melihat ketiga-tiga anak Raja Suran sedang berehat di situ.

Lalu gadis itu bertanya, “Siapa tuan hamba bertiga ini? Anak ‘raja mana tuan hamba? Anak raja jinkah atau anak raja perikah, atau anak raja inderakah? Hendaklah berkata benar tuan Hamba ketiga kepada kami kedua ini; kerana lamalah kami duduk di lembah Bukit Si Guntang ini, seorang manusia pun tiada datang ke mari, baharu pada hari inilah kami melihat tuan hamba ketiga ini.” Maka sahut Nila Pahlawan, “Adapun kami ini bukan daripada jin dan peri, dan bukan kami daripada bangsa indera; bahawa adalah bangsa kami ini daripada manusia.

Lantas mereka menjawab soalan gadis itu "Asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain, dan nasab kami Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihi s-salam, dan nama kami Nila Pahlawan, dan yang seorang ini Krisyna pendita, dan yang seorang Nila Utama; dan nama curik kami ini Si Mandang Kini, dan kayu ini Cap Kerupa namanya, dan pedang ini Badram Balawa namanya, dan lembing ini Lembuara namanya.” 

(Itulah sedikit sebanyak cerita mengenai Raja Suran yang meninggalkan ketiga putranya di Tanah Melayu.)

*RAJA ISKANDAR ZULKARNAIN di dalam kisah ini adalah Sang penguasa dari timur ke barat , yang bertanggungjawab mengurung yakjud makjud disebalik tembok . 

*Nila Pahlawan pula adalah orang yang sama dengan Sang Sapurba yang mempunyai dua nama lain iaitu Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana.

*Poster ni saya lupa dah siapa yang buat. 

*Kisah Raja suran dan anaknya ni diambil dari kitab melayu sulalatus salatin yang terkenal itu. Yang nak percaya atau tidak ikut diri masing².

Ads go here

Comments